Apakah hukum menyembelih ayam dengan mesin?
Sembelih ayam tidak sempurna kadang-kadang urat mari’nya dan dua urat yang di belakang tengkuknya tiada putus, kadang-kadang sebelah hadapan sahaja tidak berkeliling potongannya, kerana menggunakan alat mesin, maka apa hukumnya sebagaimana terdapat di London dan dibuat oleh orang Islam?
Sembelih binatang atau ayam hendaklah putus segala halqum iaitu urat lubang nafas, dan hendaklah putus segala urat lalu makanan iaitu mari’, dan sunat dipotong dua urat di belakang tengkuk binatang.
Apabila dipotong oleh orang Islam akan segala dan semua urat halqum dan dipotong segala dan semua urat lalu makan (mari’) maka sempurna sembelihan dan halal ayam itu. Jika dipotong sebahagian halqum atau dipotong sebahagian dari mari’ atau sebahagian dari keduanya, maka tiadalah halal sembelihan itu dan binatang dan ayam itu jadi bangkai.
Hendaklah diketahui bahawa sembelih itu hendaklah dilakukan oleh orang Islam dengan memotong semua halqum dan semua mari’ itu oleh orang Islam sendiri. Dari itu tiadalah halal ayam itu jikalau orang Islam memotong ayam dengan menggunakan mesin, kerana jika mesin itu memotong halqum dan mari’ dengan tiada dipotong sendiri oleh orang Islam, maka tiadalah dinamakan sembelih dilakukan oleh orang Islam dan hanya dinamakan mesin itu memotong ayam itu, dan tiada dinamakan sembelih pada syara’ dan ayam itu jadi bangkai kerana orang Islam hanya menghidupkan suiz mesin itu dan dia tiada menyembelih leher ayam itu.
Seorang Saudi telah menyangkal bahawa bagaimana ayam yang disembelih oleh mesin itu tiada halal. Saya jawab Allah perintahkan orang Islam sembelih binatang bagaimana dalam AI-Qur'an: إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ Ertinya sembelih maka orang Islam itu sendiri mengarak pisau dan menyembelih halqum dan mari’ binatang atau ayam. Jika orang Islam menekan suiz mesin dan mesin itu memotong leher ayam, maka itu tiada mendapati akan erti kata مَا ذَكَّيْتُمْ atau erti kata sembelih atau menyembelih. Dari itu ulama berkata pisau yang dipasang dalam perangkap dan pisau itu sendiri memotong leher binatang yang masuk dalam perangkap adalah tiada halal kerana tiada ada sembelih daripada orang Islam, bagaimana disebutkan dalam kitab Syarh AI-Muhadzdzab dan lain.
Kemudian orang Saudi itu berkata sembelih itu sangat banyak tiada dapat dikendalikan oleh manusia hanya mesin yang boleh mengendalikan sembelih ayam itu. Saya jawab Islam suruh orang Islam sendiri sembelih dan tiada suruh mesin sembelih ayam atau binatang itu. Dan manusia di Eropah dan Amerika bermillion orang menganggur tiada ada pekerjaan dan mereka ditanggung oleh social welfare, tidakkah ada di antara bermillion orang-orang itu orang Islam yang boleh dikerahkan tenaga bagi menyembelih ayam itu? Islam suruh manusia bekerja dan berusaha dan melarang orang hidup dengan makan diselanggarakan oleh social welfare itu atau sistem cara Eropah yang tiada mahu kenalkan sistem agama. Kenalan saya orang Saudi itu diam dan saya diam.
Islam menggalakkan tiap-tiap orang Islam berusaha dan mencari kehidupan yang halal sekalipun mencari kayu api di hutan-hutan dan daratan-daratan dan menangkap ikan di laut-laut, dan menegah orang Islam dari menadah tangan dan menganggur. Kaum buruh dan fakir miskin ada harga dalam Islam, dari itu Islam memimpin kaum buruh dan fakir miskin supaya mereka hidup sebagaimana kaum pemodal dan kapitalisme itu hidup. Lihat kitab-kitab fiqh bukan diberi makan sebagai orang pelarian sebagaimana dibuat oleh welfare Eropah dengan tiada diberi peluang mereka berdiri di atas kaki sendiri.
Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu seri maharaja Dato seri utama Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Tarikh Diisu : 1983
Kami menawarkan perkhidmatan menghantar ayam fresh baru sembelih terus ke rumah anda (sekitar Lembah Klang).
Untuk tempahan sila SMS kod "AYAM FRESH" ke 0189147212
No comments:
Post a Comment